Archive for August, 2008

Pilihanraya Kecil Permatang Pauh P44 : Apa Ada Dengan Anwar Ibrahim ?

Thursday, August 28th, 2008

Pilihan Raya Kecil Permatang
Pauh P44 : Apa Ada Dengan Anwar Ibrahim?

 Oleh Mohd Adib Anas Bin Md Noor

Umum telah ketahui bahawa calon PKR, Anwar Ibrahim (Datuk Seri) telah memenangi
Pilihanraya Kecil Permatang Pauh P44 dengan beroleh majoriti sebanyak 15,671
undi. Rupa-rupanya rakyat masih mahukan Anwar Ibrahim meneraju Permatang Pauh
seperti sebelumnya, sehinggakan sanggup menolak calon yang mewakili UMNO dalam
BN iaitu YB Datuk Arif Shah yang juga merupakan ADUN Seberang Jaya. Perasaan
kecewa yang teramat dirasai oleh ahli-ahli BN terutamanya ahli-ahli UMNO yang
berkerja keras siang dan malam dalam memastikan jentera BN beroleh kejayaan.
Tetapi, malangnya usaha itu ditolak oleh para pengundi yang majoritinya adalah
dikalangan bangsa Melayu. Di mana Melayu ketika ini? Tidak serikkah Melayu
Permatang Pauh apabila berada dibawah tapak kaki Kerajaan Negeri Pulau Pinang
yang diterajui oleh DAP selepas pilihanraya yang lalu? Inilah yang dikesalkan.
Saat negara tercinta akan menyambut Hari Kebangsaan Yang Ke 51, majoriti Melayu
Permatang Pauh seolah-olah belum mahu Merdeka dan mahukan penindasan yang
berterusan berlaku ke atas bangsa Melayu.

Dengan kemenangan PKR pada malam 26 Ogos 2008
sudah cukup bagi majoriti Melayu Permatang Pauh berpesta sepanjang malam.
Ibarat "menang sorak, kampung tergadai", begitulah ungkapan yang
sesuai diungkapkan buat penyokong-penyokong PKR. Semangat juang untuk bangsa
Melayu telah luntur, ketuanan Melayu tidak terbela dan peradaban Melayu
dipersenda oleh kalangan Melayu Permatang Pauh yang mengundi PKR.

Penyokong dan pengundi PKR perlu ingat bahawa PKR
bukanlah sebuah parti Melayu yang boleh membela dan berjuang untuk bangsa
Melayu. PKR adalah parti campuran antara Melayu, Cina dan India. Ketiga-tiga
bangsa ini sebumbung dan sudah pasti memperjuangkan hak kesamaan antara kaum
bagi mendapat kata sepakat dalam politik yang diperan oleh Anwar Ibrahim bagi
memastikan misinya untuk menjadi Perdana Menteri Malaysia tercapai. Perjuangan
yang dilaungkan oleh Anwar Ibrahim adalah perjuangan bersifat peribadi,
bermotifkan dendam. Demi memastikan rakyat menyokong penuh kepadanya, Anwar Ibrahim
sanggup menggadaikan apa sahaja termasuklah keistimewaan orang Melayu
sebagaimana yang termaktub di dalam Perlembagaan Malaysia. Perjuangan Anwar
Ibrahim bukan perjuangan untuk anak-anak bangsa tetapi perjuangan Anwar Ibrahim
adalah perjuangan memecah belahkan umat Melayu yang beragama Islam semata-mata
untuk kecapi impian untuk menjadi Perdana Menteri. Di dalam parti yang
ditubuhkan oleh isterinya pada tahun 1999, jelas menunjukkan bahawa keterbukaan
parti tersebut menerima semua bangsa dibawah satu bumbung tanpa ada sebarang
parti komponen dibawahnya yang mewakili bangsa sesuatu kaum. Jadi, apa bezanya
PKR dengan DAP? Cuma PAS sahaja yang diwakili oleh Melayu. PKR dan DAP
bersengkol dalam membentuk Kerajaan Negeri Pulau Pinang dengan menolak calon
PAS sebagai Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang sedangkan berbanding dengan
calon PKR, calon PAS dari ADUN Permatang Pasir dilihat lebih layak untuk
menduduki kerusi Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang yang mempunyai dua kerusi
untuk jawatan itu.

Penyokong dan pengundi belum sedar akan perkara yang telah
berlaku ini. Walaupun BN ditolak di Pulau Pinang, rata-rata penyokong atau
pengundi Melayu yang lain lebih berharap kepada PAS kerana masih ada Melayu walaupun
ianya pembangkang. Senario ini belum dilihat dengan jelas oleh penyokong atau
pengundi fanatik di Permatang Pauh. PAS juga adalah salah satu parti di dalam
Pakatan Rakyat tetapi kenapa tiada kerusi TKM Pulau Pinang untuknya. Inilah
persoalan yang membelenggu difikiran.

 Melalui Pilihanraya Kecil Permatang Pauh P44,
banyak persoalan yang timbul. Antaranya ialah :

1. Kenapa
Anwar Ibrahim begitu taksub atau ‘tergila-gila’ untuk menjadi Perdana Menteri?

2. Siapakah
penaja untuk PKR sewaktu kempen pilihanraya berlangsung? Apakah dasar
perjuangan untuk bangsa Melayu di mata PKR? Dari mana datangnya wang saguhati
PKR untuk penyokong atau pengikut-pengikutnya yang berkerja sewaktu kempen dan
pilihanraya? SPR dikalangan pembangkang? Adakah wang ini datangnya dari AS atau
petualang-petualang lain? Sekiranya wang Anwar Ibrahim, tak kan Anwar sebegitu
kaya? Adakah rasuah diamal olehnya sewaktu dia dalam BN?

3. Sejauhmana
perjuangan Anwar Ibrahim untuk bangsa Melayu? PKR parti campuran, tidak mungkin
hak dan keistimewaan Melayu dibincangkan.

4. Kenapa
Anwar mengelak daripada mengangkat sumpah berikutan kes liwatnya?

5. Di
manakah semangat juang remaja dan kanak-kanak Melayu apabila sanggup mengibar
bendera-bendera DAP? Sedangkan DAP amat anti-Melayu dan mahukan keistimewaan
Melayu dibahagi sama rata dengan mereka di samping menolak Islam sebagai agama
rasmi negara.

6. Dalam
kerajaan yang akan dibentuk oleh Anwar Ibrahim pada 16 Sepetember 2008, TPM nya
adalah dari DAP. Apa akan terjadi sekiranya hayat Anwar tidak panjang? Siapakah
yang akan teraju negara?

7. Anwar
mendakwa 30 Ahli Parlimen BN akan lompat parti. Tidakkah Anwar terfikir,
bagaimana pula sekiranya Ahli Parlimen PKR dari kaum Cina dan India lompat
parti dan masuk DAP? Berapa kerat Melayu yang akan tinggal dalam PKR? 

 Sekiranya berlaku perkara yang tidak diingini,
Melayu akan ternganga dan akhirnya merintih di tanah tumpah darah sendiri.
Untuk Anwar Ibrahim, jangan sampai saudara digelar ‘Pengkhianat Bangsa’ atau ‘Tali
Barut’ suatu hari nanti. Kepada semua pembaca blogs ini, renung-renungkan dan
fikir-fikirkan perkara ini dan hayatilah bibit-bibit lirik ini :

Anak Kecil Main Api
Terbakar Hatinya Yang Sepi
Airmata Darah Bercampur Keringat
Bumi Dipijak Milik Orang

Nenek Moyang Kaya Raya
Tergadai Seluruh Harta Benda
Akibat Sengketa Sesamalah Kita
Cinta Lenyap Di Arus Zaman

Indahnya Bumi Kita Ini
Warisan Berkurun Lamanya
Hasil Mengalir Ke Tangan Yang Lain
Pribumi Merintih Sendiri

Masa Depan Sungguh Kelam

Kan

Lenyap
Peristiwa Semalam
Tertutuplah Hati Terkunci Mati
Maruah Peribadi Dah Hilang

Kini Kita Cuma Tinggal Kuasa
Yang Akan Menentukan Bangsa
Bersatulah Hati Bersama Berbakti
Pulih Kembali Harga Diri

Kita Sudah Tiada Masa Majulah Dengan Gagah Perkasa
Jangan Lalai Teruskan Usaha
Melayu

Kan

Gagah Di Nusantara (3x)

 Adakah ini kesudahan kita?

Filem di Televisyen

Tuesday, August 12th, 2008

Filem di Televisyen

Mohd Adib Anas bin Md Noor

 

 

Pengenalan

 

 

Mansor Ahmad Saman dalam
Mohamad Md. Yusoff (1993), menyatakan pendapatnya bahawa:

Televisyen
boleh kita gunakan untuk memancarkan dengan meluas budaya kita, cara hidup
kita, perkembangan dan perubahan-perubahan yang berlaku dalam masyarakat kita, sejarah
bangsa dan budaya kita, amnya dan ideal masyarakat kita dan daya cipta kreatif
masyarakat.

 

Stesyen televisyen
mempunyai hak dan kuasa untuk menetapkan rancangan dan program untuk penonton.
Di Malaysia, terdapat tujuh buah stesyen televisyen. Stesyen-stesyen televisyen
tempatan ialah Astro, Radio Televisyen Malaysia (RTM) yang mempunyai dua
stesyen TV iaitu TV1 dan TV2, serta TV3, 8TV, NTV7 dan Channel 9 di bawah Media
Prima Berhad dan MiTV. Stesen-stesyen televisyen ini sentiasa bersaing untuk
mendapat jumlah penonton tertinggi untuk sesuatu program atau rancangan yang
disiarkan. Stesyen televisyen mempunyai slot tayangan filem sama ada tayangan
filem-filem tempatan mahupun antarabangsa.

Filem-filem yang
disiar atau ditayangkan di televisyen lebih menjurus kepada filem popular
(komersial) berbanding dengan filem seni (artistik)  dan stesyen televisyen pula meraih untung
daripada menyiarkan filem-filem berkenaan. Hal yang demikian amat membimbangkan
kerana ianya akan melemahkan pemikiran penonton dan seterusnya penonton
terdidik dengan satu budaya pemikiran ringan serta pemikiran mereka tidak
berkembang sekiranya filem-filem yang berunsurkan pemikiran atau ideologi
dipersembahkan kepada mereka.

 

 

Definisi

 

Filem
hanya merupakan bahantara seni gambar bergerak yang sekadar memapar luaran
sahaja.

(Adman Salleh, 2004)

 

Filem adalah
sebuah medium komunikasi yang menterjemahkan skrip (naratif) kepada bentuk
visual dengan harapan mendidik masyarakat melalui imej, persoalan dan mesej-mesej
yang terkandung dalam sesebuah filem. Melalui filem, komunikasi akan terjalin
antara penonton dengan visual yang diterjemahkan oleh pengarah filem ke layar
kerana ianya adalah sebuah medium yang menterjemahkan idea komunikasi. Apabila
penonton mulai faham akan mesej yang disampaikan, maka komunikasi antara
penonton dengan visual akan terjalin. Menonton filem adalah budaya hiburan yang
popular. Penonton tidak perlu ke pawagam semata-mata untuk menonton filem.
Kini, penonton boleh menikmati atau menonton sesebuah filem melalui
medium-medium penyampai yang lain seperti televisyen, pita video, cakera padat
(VCD) atau DVD di rumah.

Para sarjana
mendefinisikan filem sebagai sebuah medium komunikasi yang menterjemahkan
visual merangkumi bahasa (dialog) dengan perbuatan, pergerakan dan ekspresi.
Visual yang diimejkan secara tidak langsung akan menggantikan bahasa (dialog)
dengan perlakuan atau perbuatan. Dalam kata lain, filem adalah pergerakan imej
yang terbentuk pada skrin atau layar seluloid melalui bantuan projektor (Ron
Johnson dan Jan Bon, 1986). Filem adalah sebuah medium yang menghubungkan
komunikasi antara pembikin filem dengan penonton. Apabila penonton menonton
filem secara tidak langsung mereka akan mendapat input melalui imej dan mesej-mesej
yang disampaikan melalui layar. Filem juga dibahagikan kepada tiga jenis iaitu
filem arus perdana (cereka), filem dokumentari dan filem animasi. Filem arus
perdana adalah filem kegemaran dan pilihan ramai kerana ianya berunsurkan
hiburan.

Pentakrifan
filem dari segi naratif, filem dianggap sebagai seni rekaan. Filem, tidak
dirujuk sebagai bahan atau cara melakukannya. Perkataan filem itu sendiri sudah
menjadi generic term. Apa-apa cerita
yang divisualkan boleh dikategorikan sebagai filem sama ada untuk tayangan di
pawagam mahupun di televisyen kerana yang membezakannya ialah format teknik
rakaman. Perkataan filem ini boleh digunakan walaupun cerita itu dibikin atau
divisualkan melalui format video mahupun filem. Filem juga ditakrifkan sebagai
produk atau seni plastik yang dihasilkan melalui rakaman kerana melalui produk
filem pengkarya yang merujuk kepada karyawan memberi nama atau judul filem
untuk sesebuah drama cerita rekaan atau cereka (dramatic feature) (Prof. Dr. Hatta Azad Khan, 28 Mac 2006).
 

Mengkaji
psikologi manusia, sememangnya naluri manusia suka kepada perkara-perkara yang
menghiburkan dan meriangkan (A.Razak Mohaideen, 2004). Filem arus perdana dilihat sebagai filem yang
menepati citarasa penonton. Melalui filem arus perdana, penonton dapat memilih
jenis-jenis atau genre filem yang ingin ditonton. Terdapat pelbagai genre untuk
penerbitan sesebuah filem. Antaranya ialah genre horror, science fiction, drama, melodrama, noir, western, perang, epik, komedi, muzikal, pengembaraan, kung-fu, gangster dan fantasi (Ayu
Haswida Abu Bakar, Nota Kuliah, 31 Disember 2003). Kadang-kala penerbit atau
pengarah akan menggabungkan beberapa genre bagi mempelbagaikan kisah dan
tragedi dalam filem. Maka, terciptalah sub-genre
filem seperti genre komedi romantik, naratif komedi, psiko seram, drama
muzikal dan banyak lagi.

 

 

Filem dan Televisyen Budaya Popular

 

Menonton filem dan televisyen adalah budaya popular. Filem dan
televisyen serta budaya popular adalah saling memerlukan. Budaya popular
memerlukan medium filem dan televisyen dalam mempopularkan sesebuah budaya pop
atau popular. Manakala, filem dan televisyen adalah medium penyampai budaya
popular kepada penonton dan masyarakat. Diana Kendall (2000) menyatakan bahawa
:

Popular culture consists of
activities, products and services that are assumed to appeal primarily to
members of the middle and working classes, including rock concerts, spectator
sports, movies and television soap operas and situation comedy.

 

Budaya pop atau popular
adalah budaya yang dicipta untuk tujuan perdagangan. Bagi mencapai sebaran ini,
filem dan televisyen adalah medium yang bertepatan dalam mencapai matlamat ini
supaya sampai kepada semua lapisan masyarakat. Mohamad Md. Yusoff (1993)
menyatakan bahawa salah satu ciri utama budaya popular ialah sifatnya yang
mempunyai penonton yang pelbagai dan berada di merata tempat dengan cara hidup,
kepercayaan dan citarasa yang berbeza. Budaya popular memerlukan televisyen
untuk menyampaikan mesejnya kepada masyarakat, begitu juga dengan televisyen
yang memerlukan bilangan penonton yang tinggi.

Dalam konteks ini, jelas menunjukkan bahawa filem di televisyen
berupaya menarik minat penonton untuk menonton. Stesyen televisyen juga
berupaya menarik ramai penonton untuk menonton filem-filem yang ditayangkan. Dengan
menyiarkan filem di televisyen, penonton secara tidak langsung akan menikmati
hiburan yang agak murah jika dibanding dengan harga tiket yang akan dibeli oleh
mereka untuk menonton filem di pawagam. Perkara ini secara tidak langsung akan
mengurangkan jumlah penonton menonton filem di pawagam. Penonton sudah pasti
akan memilih televisyen kerana ianya jauh lebih murah dan menjimatkan masa.
Filem di televisyen yang ditonton oleh mereka sekaligus memberi peluang kepada
mereka untuk tinggal di dalam rumah dan  berhibur bersama ahli keluarga dan berupaya
mengeratkan hubungan kekeluargaan.

Fenomena ini akan mencetuskan sebuah budaya popular dikalangan
masyarakat. Budaya popular yang dimaksudkan bukan sahaja melibatkan pemaparan
budaya pop melalui visual yang ditayangkan malahan menonton filem di televisyen
sudah memberi cetusan budaya terhadap masyarakat. Jika tontonan filem melalui
televisyen sudah menjadi satu budaya terhadap masyarakat, stesyen televisyen
haruslah memainkan peranan terpenting dalam memilih filem-filem yang berkualiti
sejajar dengan budaya popular yang telah tercetus ini. Budaya popular yang
wujud mempunyai pro dan kontranya. Andainya populariti yang disandarkan maka
budaya tidak sihat akan menular dikalangan masyarakat dan jika kualiti yang
ditekankan maka penonton akan menikmati sebuah budaya yang akan mengubah cara
pemikiran, kepercayaan dan cara hidup yang membimbing ke arah masyarakat yang
berpendidikan dan penuh dengan unsur-unsur perpaduan dan pembangunan.

 

 

Masalah Kajian

 

Just as with everyday
interactions, watching

television has often been seen
as a routine, unproblematic, passive process: the meaning of programmes are
seen as given and obvious; the viewer is seen as passively receptive and
mindless. Again, this simplicity is illusory. In recent years, both
interpersonal and mediated communication have been increasingly recognised as
complex, rule-governed, constructive set of prosesses. People’s role in such
communications must be correspondingly understood as knowledgeable, skilled,
motivated, and diverse.

(Sonia Livingstone, 1998)

Televisyen adalah medium
komunikasi yang paling berkesan. Melalui televisyen, interaksi antara visual
dan penonton akan terjalin. Penonton akan mendapat maklumat, hiburan dan
pendidikan melalui medium ini. Situasi ini berlaku setiap hari kerana menonton
televisyen adalah rutin seharian yang tak dapat dipisahkan. Filem di televisyen
dianggap sebagai medium komunikasi yang bersifat sebagai penyampai kerana
berdasarkan kepada aspek komunikasi, filem adalah sebagai jendela dunia, filem
sebagai cerminan masyarakat dan pemaparan adat dan budaya.

Bagi memenuhi
permintaan, stesyen-stesyen televisyen sentiasa bersaing dalam usaha menarik
minat penonton untuk menonton rancangan atau program terbitan mereka. Dengan
menyediakan rancangan atau program yang menarik, secara tidak langsung stesyen
TV dapat menarik pandangan audien untuk memilih stesyen kegemaran mereka. Setelah
stesyen TV itu menjadi pilihan ramai, maka pihak stesyen TV pula mudah untuk
mendapat tajaan bagi rancangan atau program yang akan diterbitkan. Pulangan
yang diterima pula lumayan.

Berbalik kepada kajian terhadap Filem di Televisyen, ternyata filem-filem yang dipilih untuk
tontonan penonton di rumah adalah merupakan filem-filem yang mempunyai tarikan
yang tersendiri. Filem yang dimaksudkan bukan sahaja melibatkan filem-filem
yang sudah ditayangkan di pawagam tetapi juga filem yang dibikin dalam format
video khususnya untuk slot televisyen. Dalam hal ini, majoriti penonton mungkin
merasa keliru. Majoriti penonton hanya menganggap bahawa filem adalah untuk
tayangan di pawagam sahaja, filem yang ditayangkan di pawagam akan ditayangkan
di televisyen hanya selepas dua bulan ditayangkan sebagaimana yang dibuat oleh
Astro. Bagi stesyen-stesyen TV yang lain, filem akan ditayangkan di televisyen
hanya pada masa dan waktu tertentu seperti Hari Raya Puasa, Hari Kebangsaan dan
perayaan-perayaan yang lain. Manakala, majoriti penonton menganggap bahawa cerita
dua jam yang ditayangkan di televisyen dipanggil drama TV dan bukannya filem.
Sedangkan cerita itu boleh dikategorikan sebagai filem. Yang membezakannya
ialah format atau bagaimana ianya dibikin.

Dalam permasalahan ini, perkara utama yang hendak diketengahkan
ialah soal pemilihan filem-filem untuk tayangan di televisyen. Tidak kira sama
ada filem itu adalah filem yang sudah ditayangkan di pawagam mahupun filem yang
dibuat khusus untuk slot televisyen. Pemilihan filem-filem yang telah
ditayangkan di pawagam adalah perlu dan filem-filem yang dibikin khusus untuk
slot TV juga perlu diambil perhatian. Filem di televisyen akan mempengaruhi
minda dan pemikiran penonton kerana filem adalah medium atau media yang
berpengaruh terhadap ransangan tertentu, sama ada dari segi kelakuan mahupun
pemikiran.

Segala visual
yang dipaparkan melalui filem di televisyen akan mencetuskan persepsi
masyarakat penonton terhadap apa yang diterima oleh mereka sewaktu menonton.
Penonton atau khalayak akan menafsir dan menginterprestasi visual yang dilihat
berdasarkan sikap, kepercayaan, pendapat dan motif. Perkara-perkara ini juga
akan mempengaruhi persepsi penonton yang membawa kepada penerimaan dan
penolakan terhadap sesebuah filem yang ditayangkan di televisyen (Coffey, A.,
1985). Filem juga mampu memberi impak yang besar terhadap ideologi, politik,
ekonomi dan sosial sesebuah bangsa dan negara.

Televisyen adalah alat komunikasi yang begitu penting lagi
berkesan kerana ianya berupaya menentukan ‘agenda harian’ untuk tatapan penonton
serta membentuk keperibadian nasional. Matlamat Jabatan Penyiaran Malaysia
ialah untuk memberikan hiburan, pendidikan dan maklumat kepada sasaran
penontonnya sambil berusaha mencapai cita-cita integrasi nasional, pembangunan
sosioekonomi dan menyemai serta memupuk nilai-nilai dan cara hidup yang sesuai. Persoalan juga timbul sama ada
televisyen Malaysia setakat ini sebagai
alat untuk menyebarkan budaya popular atau budaya tempatan (Mohamad Md. Yusoff,
1993).

Majoriti penonton masih menganggap bahawa televisyen sebagai
medium hiburan terpenting kepada mereka. Penonton merasakan bahawa televisyen
adalah teman sewaktu mereka keseorangan dan mengisi masa lapang yang terluang. Pemilihan
terhadap filem-filem yang berkualiti adalah penting untuk siaran televisyen
kerana ianya akan mengubah pemikiran dan persepsi penonton dan masyarakat,
secara tidak langsung ianya akan mengubah budaya berfikir. Sekiranya
filem-filem yang ditayangkan itu hanya bersandarkan kepada populariti (merujuk
kepada filem komersial), penonton diambang bahaya andainya tayangan filem-filem
sebegini berterusan. Penonton akan berterusan menganggap bahawa filem sebegitu
berupaya memberi hiburan dan terpengaruh dengan budaya yang tidak sihat ini. Prof.
Dr. Hatta Azad Khan (28 Mac 2006) menyatakan pendapatnya bahawa :

Filem
yang buruk berjaya dan mendapat perhatian ramai kerana stesyen televisyen kerap
menyajikan filem-filem sebegitu di televisyen. Jadi, pemikiran masyarakat
penonton terutamanya masyarakat Melayu hanya setakat itu sahaja dan tidak boleh
melangkau jauh.

 

Sebagai medium
penyampai, filem di televisyen perlu melalui beberapa proses pemilihan dan
tapisan. Televisyen harus mempunyai standart
untuk memilih filem-filem ke televisyen. Sekiranya, sesebuah filem itu tidak
bagus, maka filem itu tidak seharusnya dipertontonkan di televisyen. Ini
kerana, filem di televisyen dianggap sebagai pengantar untuk membudayakan
pemikiran masyarakat terutamanya masyarakat Melayu (Prof. Dr. Hatta Azad Khan,
28 Mac 2006).

 

 

Hasil Kajian

 

Melihat senario
filem di televisyen sebagaimana yang telah ditayangkan atau disiarkan oleh
stesyen-stesyen TV di Malaysia, dilihat bahawa filem-filem yang ditayangkan di
slot televisyen seperti slot Cerekarama (TV3),
Teater Lagenda (TV2), Istimewa Bulan April (TV3), Pentas 1 (TV1) dan lain-lain adalah
lebih menjurus kepada cerita atau filem-filem komersial yang mampu menarik
audien atau penonton untuk menonton slot itu di televisyen. Filem-filem
sebegini sememangnya mendapat tempat dan perhatian penonton. Walaupun bermesej
tetapi mesej-mesej tersebut adalah mesej-mesej yang klise. Penonton pula hanya
tahu bergelak ketawa dengan apa yang ditonton, seolah-olah filem di televisyen
diibaratkan seperti bahan seni murah dan filem yang ditayangkan oleh
stesyen-stesyen TV tempatan hanya untuk tujuan itu.

Dalam hal ini,
stesyen TV memperolehi untung kerana slot yang ditayangkan itu adalah pilihan
majoriti penonton, tetapi dari segi aspek pemikiran, penonton menghadapi
senario atau keadaan yang parah untuk jangka masa yang panjang.

Menerbitkan
filem hanya atas tuntutan komersial semata-mata bagi kalangan pembikin filem
tempatan, akan dianggap satu tindakan yang tidak bijak. Sesuatu yang dianggap
terlalu berkiblat kepada kebendaan, dikhuatiri akan mengakibatkan nilai murni
turut terkorban.

(Adman Salleh, 2004)

 

Sekiranya filem di
televisyen tidak diterap dengan nilai pemikiran atau ideologi yang seimbang,
masyarakat penonton akan menghadapi permasalahan berfikir. Bagi penonton yang
cerdik dan mempunyai latar pendidikan yang tinggi, sudah pasti bahan yang
hendak ditonton itu adalah filem seni yang berkualiti dan kreatif. Tetapi,
golongan ini adalah minoriti. Bagi masyarakat penonton luar bandar dan
pedalaman, andainya filem-filem yang ditayangkan di televisyen itu tidak
berupaya menjana pemikiran dan budaya berfikir, maka mereka akan menghadapi
masalah dalam perkara ini.

Melalui
pengkajian Filem di Televisyen,
peranan stesyen TV dan penonton adalah penting dalam mengubah cara pemilihan
filem untuk tontonan. Filem-filem ringan atau tidak berkualiti diangkat dan
menjadi pilihan ramai adalah kerana karyawan filem dan pembiaya bersifat
memperolehi untung. Karyawan filem dan pembiaya yang dimaksudkan juga terus
bertakhta dihati penonton kerana penonton memberi sokongan terhadap filem-filem
sebegini serta lambakan filem-filem berkenaan di pasaran. Dalam perkara ini,
penonton tiada pilihan. Penonton yang bersikap memilih akan menonton filem dari
luar negara yang disifatkan oleh mereka sebagai filem berkualiti berbanding
dengan filem tempatan.

Karyawan
filem perlu ingat bahawa generasi masyarakat penonton sekarang didedahkan
dengan filem antarabangsa yang hebat mutunya. Penonton tempatan bukanlah boleh
disajikan dengan apa-apa sahaja mengikut resepi penerbit dan pengarah filem.

(Anis Sofia Azman, 2004)

 

Menyedari akan
hakikat ini, saya berpendapat bahawa sebelum mengubah pandangan atau pemikiran
penonton ke arah yang lebih agresif, pihak karyawan, pembiaya dan stesyen
televisyen tempatan adalah kumpulan pertama yang perlu mengubah cara pemikiran kerana
mereka mempunyai tanggungjawab sosial yang besar dalam menghasilkan karya yang
kreatif dan berkualiti.

Kreativiti
dalam penghasilan karya amatlah penting. Kreativiti dapat dihasilkan melalui
penyelidikan, dan itulah kejayaan sesebuah karya, memaparkan sesuatu yang belum
diketahui umum.

(Abd. Razak Abu Bakar,
2004)

Penghasilan visual atau
cerita yang berkualiti, kreatif atau yang mempunyai standart adalah berdasarkan kepada buah fikiran penulis skrip yang
menterjemahkan idea atau pemikirannya melalui skrip yang ditulis berdasarkan
kajian dan penyelidikan. Untuk penghasilan sesebuah filem sama ada untuk
tayangan pawagam atau televisyen, skrip adalah perkara utama yang perlu dititik
beratkan sebelum kerja-kerja memvisualkan skrip itu dibuat. Tapisan atau
suntingan skrip adalah perlu bagi melengkapkan sebuah cerita yang berkualiti.

Menonton filem
di televisyen adalah budaya masyarakat kini. Melalui medium ini, stesyen TV
perlu menghadkan, menapis dan menolak filem-filem yang rendah kualitinya.
Stesyen TV juga perlu memikirkan budaya yang bagaimana hendak mereka cernakan
atau terapkan kepada masyarakat penonton. Walaupun filem dianggap sebagai bahan
hiburan, filem tidak seharusnya dianggap berterusan sebagai bahan hiburan semata-mata,
tetapi filem perlu dianggap sebagai medium yang menyarankan perubahan,
pendidikan, sikap, pegangan atau falsafah, kritikan dan apresiasi. Setiap filem
yang dihasilkan sama ada untuk tayangan di pawagam atau slot TV adalah bersifat
hiburan tetapi hiburan yang dimaksudkan bukan sekadar hiburan gelak ketawa
semata-mata tetapi hiburan yang sarat dengan informasi. Jadi, dalam meletakkan
filem sebagai hiburan, persoalan yang timbul ialah hiburan yang bagaimana yang
hendak dipertontonkan kepada khalayak? Seratus peratus hiburan yang tidak
membawa apa-apa makna atau hiburan intelek.

 

Kesimpulan

 

Television may play a
restructuring role for viewer’s cognition. In other words, through their narrative
requirements for consistency, coherences, and redundancy, programmes may
organise people’s beliefs and frames of thinking in specific, robust, often
simplified ways, creating dichotomies and oppositions, forming association and
connotation, not previously used by the viewers.

(Livingstone, Sonia, 1998)

 

Televisyen adalah medium yang berpengaruh terhadap penonton.
Sebagai sebuah medium yang bersifat mempengaruhi, stesyen televisyen mestilah
memainkan peranan penting dalam menyajikan bentuk atau jenis filem melalui slot
yang disediakan. Stesyen TV juga tidak seharusnya tunduk terhadap tuntutan
komersial sahaja, tetapi perlu menilai semula filem-filem yang dipilih demi
memupuk budaya berfikir dan intelek dikalangan penonton tempatan. Masyarakat
Malaysia kurang membaca, jika sajian filem ‘sampah’ dipertontonkan maka
‘sampah’ juga yang dihasilkan melalui pemikiran masyarakat. Jadi, sebagai bahan
atau medium yang menyampaikan ideologi-ideologi tertentu stesyen TV mestilah
menyajikan filem-filem seni, kreatif dan tinggi nilai kualitinya agar mampu
mengubah persepsi, budaya berfikir dan tingkahlaku masyarakat penonton. Menurut
Mastura Muhammad (2005) :

Aktiviti
menonton tidak sekadar menonton sebaliknya membaca dan mengkritik.

 Filem di televisyen merupakan
salah satu proses menganjurkan penonton terhadap pandangan dan pendapat bagi
mengkritik dan menyatakan pandangan terhadap apa yang ditonton. Filem yang
perlu ditonton adalah filem yang memaparkan aspek propaganda, ideologi politik,
ekonomi, sosial, budaya, keagamaan dan kepercayaan sesebuah bangsa dan negara.
Aspek ini adalah perlu bagi memperluaskan proses berfikir di kalangan
masyarakat penonton kerana menurut Azim Syafi (2004), filem ialah cermin budaya
sesuatu bangsa yang membawa imej negara. Jadi, karyawan filem, pembiaya dan
stesyen TV tempatan hendaklah mengubah cara pemikiran dalam membikin atau
memilih filem  untuk televisyen yang
mempunyai mesej dan maklumat, pengajaran dan pembangunan minda masyarakat
kerana filem adalah lambang identiti nasional sesebuah negara. Halloran (1970)
dalam Livingstone, Sonia (1998) menyatakan bahawa :

Television may provide viewers
with ‘pictures of the world, the definitions of the situation and problems, the
explainations, alternative remedies and solutions’.

 

Sebagai satu budaya popular, menonton filem di televisyen perlu
dilihat dari sudut pandangan budaya. Filem di televisyen bukan sahaja untuk
mengaut keuntungan semata-mata tetapi melihat atau menonton filem itu sebagai
pemaparan sosial, ideologi dan sikap yang cuba disampaikan kepada penonton.

Rujukan

 

A. Razak Mohaideen. (2004). Industri
Filem Filem Kita :

Permasalahan dan Masa Depannya. Jurnal Skrin Malaysia Fakulti Seni
Persembahan Vol. 1
. Shah Alam : Pusat Penerbitan Universiti (UPENA), UiTM.

Abd. Razak Abu Bakar. Nota Editor : Kreativiti Dalam

Perfileman. Dewan Budaya. Mei 2004.

Adib Anas. Temuramah
Bersama Prof. Dr. Hatta Azad Khan.

28 Mac 2006.

Adman Salleh. Karya Sastera Ke Filem : Kelebihan dan

Permasalahannya. Dewan Budaya. Oktober 2004.

Anis Sofea Azman. Pakatan Strategik Karyawan Filem. Dewan

Budaya.
Disember 2004.

Ayu Haswida Abu Bakar. Nota
Kuliah : Teori Apresiasi Filem.

 31
Disember 2003.

Coffey, A. (1985). Understanding and Managing Organizational
Behaviour.
Illinois : Richard CO.

Johnson, Ron & Bone,
Jan. (1994). An Introduction to Film
Appreciation : Understanding the Film.
Lincolnwood : Natinol Text Book
Company.

Kendall, Diana. (2000). Sociology In Our Times : The

Essentials 2. United States
of America : Wadsworth

Thomson Learning.

Livingstone, Sonia.
(1998). Making Sense of Television :

The Psychology
of Audience Intepretation.
New

York :
Routledge.

Mastura Muhammad.
(2005). Audien :Konsep, Teori, Penggunaan

dan Kepuasan. Jurnal Skrin Malaysia Fakulti Seni Persembahan Vol. 2. Shah Alam :
Pusat Penerbitan Universiti (UPENA), UiTM.

Mohamad Md. Yusoff.
(1993). Media dan Masyarakat : Satu

Kumpulan Esei. Kuala Lumpur :
Dewan Bahasa dan Pustaka

dan Kementerian Pendidikan Malaysia.

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

Lampiran

 

 

Teks Temuramah Bersama Prof. Dr. Hatta Azad Khan

Oleh Adib Anas (28 Mac 2006)

 

Stesyen televisyen mempunyai slot filem. Stesyen TV juga
mempunyai filem khas untuk siaran TV tetapi tidak ditayangkan di pawagam.
Lembaga Penapisan Filem Malaysia (LPF) tidak hanya tapis filem Melayu, tetapi
tumpuan juga diberikan kepada mutu filem itu sendiri. Televisyen perlu ada standart untuk memilih filem ke
televisyen. Jika sesebuah filem itu tidak bagus, maka filem itu tidak perlu
untuk tontonan penonton. Walaupun, pihak stesyen TV hendak membantu syarikat
produksi filem, stesyen TV boleh berbuat demikian tetapi hanya dengan sekali
dan bukannya berulang kali. Perkara yang perlu diambil kira untuk tayangan
sesebuah filem di televisyen ialah mutu, kandungan dan lakonan.

Filem yang menang anugerah perlu ditayangkan ke TV. Ini kerana
filem-filem yang pernah memenangi anugerah dapat membudayakan pemikiran
masyarakat Melayu terutamanya. Filem yang buruk berjaya dan mendapat perhatian
ramai kerana stesyen televisyen kerap menyajikan filem-filem sebegitu di
televisyen. Jadi, pemikiran masyarakat penonton terutamanya masyarakat Melayu
hanya setakat itu sahaja dan tidak boleh melangkau jauh. Sekiranya, sesebuah
filem itu tidak bagus, maka filem itu tidak seharusnya dipertontonkan di
televisyen. Ini kerana, filem di televisyen dianggap sebagai pengantar untuk
membudayakan pemikiran masyarakat terutamanya masyarakat Melayu. Secara tidak
langsung ianya akan merosakkan fikiran orang Melayu melalui budaya yang
disebarkan melalui TV. Stesyen TV juga membudayakan filem yang rendah kualiti.

Filem dari segi
naratif, filem dianggap sebagai seni rekaan. Filem, tidak dirujuk sebagai bahan
atau cara melakukannya. Perkataan filem itu sendiri sudah menjadi generic term. Apa-apa cerita yang
divisualkan boleh dikategorikan sebagai filem sama ada untuk tayangan di
pawagam mahupun di televisyen kerana yang membezakannya ialah teknik rakaman.
Perkataan filem ini boleh digunakan walaupun cerita itu dibikin atau
divisualkan melalui format video mahupun filem. Filem juga ditakrifkan sebagai
produk atau seni plastik yang dihasilkan melalui rakaman kerana melalui produk
filem pengkarya yang merujuk kepada karyawan memberi nama atau judul filem
untuk sesebuah drama cerita rekaan atau cereka (dramatic feature). Filem adalah satu produk seni yang yang
bercerita hasil daripada rakaman.

Memartabatkan Perpaduan Melayu Dari Konteks Kesenian dan Kebudayaan

Tuesday, August 12th, 2008

Memartabatkan Perpaduan Melayu Dari Konteks

Kesenian dan Kebudayaan

Mohd Adib Anas Bin Md Noor

 

Mukadimah

Salah satu daripada
tujuan Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) ditubuhkan ialah untuk
menjaga dan memartabatkan kesucian agama Islam, kesenian dan kebudayaan Melayu.
Perkara atau tujuan ini secara rasminya termaktub di dalam Perlembagaan
Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (Bahagian 5.5.3). Timbulnya perkara atau
tujuan untuk menjaga dan memartabatkan kesucian agama Islam, kesenian dan
kebudayaan Melayu ini adalah kerana Pertubuhan atau GPMS sedar bahawa perkara
atau tujuan ini dapat menyatukan dan meningkatkan darjat bangsa Melayu.

Kerajaan Malaysia melalui Rancangan Malaysia Ke Sembilan
(2006-2010), memperakui bahawa peranan budaya dan seni mampu menyumbang ke arah
membangun individu secara total, mempererat perpaduan serta mempertingkatkan
kualiti hidup melalui penglibatan aktif semua golongan dalam aktiviti kesenian
dan kebudayaan, malah turut mewujudkan kesedaran dan penghayatan yang lebih
baik terhadap kekayaan warisan budaya negara.

 

Definisi

Kamus Dewan
Edisi Ketiga terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka mentakrifkan perpaduan sebagai
penggabungan, peleburan, persesuaian, kecocokan, dan perihal berpadu (bergabung
menjadi satu, sepakat dan lain-lain), persatuan, manakala keutuhan bermaksud
perihal (sifat,keadaan) utuh.

Perkataan
perpaduan menurut Haji Mohd Shahrir Haji Abdullah (http://www.islam.gov.my/erujukan/lihat.php?jakim=

482) berasal daripada
perkataan padu iaitu mampat, pejal dan padat. Perpaduan juga bermaksud
penggabungan. Perihal bergabung menjadi satu atau persatuan. Menurutnya lagi,
lawan bagi perpaduan ialah permusuhan, kehancuran dan perpecahan. Jadi,
perpaduan dari segi tuntutan Islam adalah satu perkara yang baik iaitu makruf manakala perpecahan pula satu
perkara yang keji atau tidak baik iaitu mungkar.

Dalam pengertian yang lain, perpaduan bererti hubungan erat yang
bersifat toleransi bagi mencapai matlamat secara jujur dan ikhlas. Perpaduan
juga adalah proses menyatupadukan seluruh masyarakat bagi membentuk satu
identiti dan menanamkan perasaan cinta dan banggakan negara.

Perkataan Melayu menurut Van Der Tuuk bererti penyeberang.
Hollender menyatakan bahawa Melayu sama seperti pengembara. Melayu itu berasal
dari Negeri Persia yang dikenali sebagai Mahaluyah.
Perkataan Melayu diambil sempena nama pokok iaitu gaharu, kata Darus Ahmad. Begitulah
pendapat dan andaian para sarjana dan pengkaji mengenai perkataan dan asal-usul
Melayu. Perlembagaan Malaysia Fasa 110.89(6) merumuskan bahawa Melayu adalah
mereka yang berbangsa Melayu, beragama Islam dan mengamalkan budaya Melayu.
Ditafsirkan juga bahawa sesiapa yang berketurunan Melayu tetapi tidak mengikut
nilai-nilai Melayu, mereka ini tidak tergolong sebagai bangsa Melayu (Nota
Kuliah Kesenian Melayu, 2001).

Kesenian adalah
sesuatu produk, pertunjukan atau persembahan, benda atau apa-apa yang berseni yang
memiliki ciri-ciri estetika, keindahan atau kecantikan. Kesenian lahir dari
sentuhan nuansa atau nurani yang mendalam. Ianya dihasilkan untuk meninggalkan
kesan kepada nurani orang lain. Seni daripada Ensiklopedia Indonesia menterjemahkan seni sebagai jelmaan rasa
indah yang terkandung dalam jiwa manusia, dilahirkan dengan perantaraan alat
komunikasi ke dalam bentuk yang dapat ditangkap oleh pancaindera pendengaran
(seni suara), penglihatan (seni lukis) atau dilahirkan dengan perantaraan gerak
(seni tari atau drama) (Abdurrahman Al-Baghdadi, 2005).

Budaya akan wujud dengan adanya kelompok bangsa atau kaum.
Kebudayaan tercetus apabila budaya sesuatu bangsa itu mempunyai nilai peradaban
yang tinggi dalam sesuatu tamadun. Dalam kebudayaan terdapat empat komponen
penting iaitu fikiran atau idea
(contoh : falsafah, mitos, lagenda, sastera, kepercayaan, bahasa dan
lain-lain), kebendaan (contoh : seni
bina, perkakasan, teknologi, perubatan dan lain-lain), kesenian (contoh : seni lakon, tarian, nyanyian, seni visual,
lukisan dan lain-lain), nilai dan norma
(contoh : undang-undang, adat resam, perlakuan, kesopanan dan kesantunan,
nilai-nilai keagamaan, pantang larang dan lain-lain). 

 

Perpaduan Melayu

 Perpaduan antara
Melayu dengan Melayu adalah penting dalam mencapai kesepakatan dan kesatuan
bangsa yang disegani. Perlunya perpaduan antara Melayu dengan Melayu adalah kerana
keteguhan bangsa Melayu membolehkan Melayu maju dalam pelbagai lapangan
disamping menikmati kehidupan aman dan bebas daripada ketakutan.

Perpaduan bukan sesuatu yang sukar untuk digapai. Perpaduan
Melayu boleh dicapai melalui kesenian dan kebudayaan. Bangsa Melayu yang
inovatif dan kreatif mampu untuk mengeratkan perpaduan yang utuh disamping
menjadi bangsa yang berbudaya tahan dan
mempunyai moral awam yang yang teguh. Akan tetapi, bagi mencapai perpaduan ini
bangsa Melayu tidak terlepas daripada rintangan dan halangan. Rintangan dan
halangan ini ada yang berpunca dari Melayu itu sendiri dan tidak kurang juga
yang datang dari luar.

Sifat sombong adalah sifat yang perlu dikikis oleh bangsa
Melayu. Sifat ini adalah penghalang utama seseorang untuk menerima pendapat
atau buah fikiran orang lain dan ianya mendorong ke arah keretakan dan
perpecahan. Selain itu, Melayu perlu buang sikap menyebarkan hal atau keburukan
orang lain. Perbuatan ini akan menggagalkan perpaduan. Sesungguhnya tidak ada
sesiapa pun yang mahu keburukan atau masalah yang dihadapi dicanang atau
disebar kepada khalayak umum.

Bagi mencapai perpaduan bangsa Melayu yang utuh, Melayu perlulah
berpegang teguh kepada agama, mengamalkan nilai-nilai murni, memelihara dan
menjaga maruah diri, bertatasusila dan berdisiplin, bersatu padu dan
bertoleransi, prihatin, dan cintakan keamanan dan pendamaian.

Perpaduan bangsa Melayu akan terbentuk dengan adanya kesedaran.
Apabila Melayu mulai sedar, segala pembentukan dan perlasanaan pelbagai agenda
Melayu mudah digerak dan dirancang. Ini kerana kesedaran akan membawa kepada
usaha yang bersungguh-sungguh dalam mencapai objektif strategi, matlamat,
program dan aktiviti.


Kesenian dan Kebudayaan Mengeratkan Perpaduan

 Apabila
menyentuh soal kesenian dan kebudayaan, rata-rata berfikiran bahawa kesenian
dan kebudayaan adalah cabang yang membawa kepada hiburan. Pemikiran
konvensional sebegini menghalang kita daripada meneroka kesenian dan kebudayaan
Melayu dengan lebih mendalam lagi, sedangkan sedar atau tidak pemikiran ini
telah membuatkan Melayu kian lupa akan kesenian dan kebudayaan bangsa sendiri.

Kesenian dan kebudayaan mendapat atau menghadapi kekangan kerana
apabila menyentuh soal Melayu, secara automatiknya atau majoritinya adalah
beragama Islam. Apabila menyentuh soal kesenian dan kebudayaan, persoalan yang
timbul ialah adakah Islam mengharamkan kesenian dan kebudayaan secara total? Prof.
Dr. Yusuf Al-Qardhawi (2005) dalam tulisannya mengenai Seni dan Hiburan Dalam Islam menyatakan bahawa perkara-perkara yang
melibatkan seni dan budaya dibolehkan selagi perkara-perkara tersebut tidak
melalaikan dan tidak bertentang dengan tuntutan agama Islam. Katanya lagi, seni
dan budaya akan mengurangi keimanan dan memasukkan seseorang ke lembah
kelalaian dan seterusnya menjadi haram adalah disebabkan oleh sikap manusia itu
sendiri yang berlebih-lebihan sewaktu menikmati keindahan sehingga menyebabkan
kenikmatan yang dinikmati itu bertentangan dengan tuntutan Islam.

“‘Sesungguhnya
Allah itu indah dan mencintai keindahan’ Inilah prinsip yang diajarkan oleh
Nabi Muhammad S.A.W kepada sahabatnya.”

(Prof. Dr. Yusuf Al-Qardhawi, 2005)

 

 Imam Al-Ghazali
dalam ulasannya yang dipetik daripada kitab Ihya’
menyatakan bahawa Allah mengurniakan manusia akal dan pancaindera di mana
tiap-tiap pancaindera itu ingin menikmati sesuatu yang menurut naluri
masing-masing. Umpamanya pelihat (penonton atau khalayak), ingin menikmati
sesuatu yang cantik, pendengar pula ingin mendengar suara yang merdu dan
berirama. Jadi tidaklah diterima akal bahawa semua perkara yang melibatkan kesenian
dan kebudayaan dilarang Allah kerana Allah telah menjadikan pancaindera untuk
tidak digunakan sewenang-wenangnya. Ianya hendaklah dikawal dan disalurkan
kepada jalan yang baik (Prof. H.M Toha Yahya Omar M.A, 2002).

Islam juga tidak
menolak bahawa persembahan kesenian dan kebudayaan ada yang bersifat
kemasyarakatan. Persembahan sebegini melambangkan kekuatan kerjasama kelompok
dan perwujudan saling hormat-menghormati, sesuai dengan tradisi masyarakat
tersebut. Kesenian dan kebudayaan yang dipersembahkan merupakan ekspresi suatu
gagasan, emosi dan kisah (Abdurrahman Al-Baghdadi, 2005).

Menyentuh perpaduan
Melayu melalui kesenian dan kebudayaan, dilihat bahawa program atau upacara
yang berkait rapat dengan kesenian dan kebudayaan mampu mewujudkan persefahaman
dan kekuatan kerjasama sesama kita. Kesenian dan kebudayaan masyarakat atau
bangsa Melayu bukan sahaja tinggi nilai estetikanya dalam seni drama tari
sahaja (merujuk kepada persembahan Mak Yong yang merupakan seni budaya yang
originalitinya dari Malaysia) malahan keindahannya juga dapat dilihat melalui seni tari, seni suara, lukisan,
seni hiasan dan fesyen, dan filem Melayu dan sebagainya.

Kesemua kesenian
dan kebudayaan yang disebutkan di atas sememangnya mampu memperkukuhkan
perpaduan bangsa Melayu sekiranya penglibatan secara serius dan
bersungguh-sungguh melalui medium ini dilakukan. Ini kerana, aktiviti-aktiviti
dan program-program yang melibatkan kesenian dan kebudayaan memerlukan
penglibatan lebih daripada seorang bagi menjayakan. Dengan penglibatan
menjayakan aktiviti-aktiviti dan program-program sebegini bangsa Melayu akan
lebih bersatu dan saling hormat menghormati antara satu sama lain. Penglibatan
dalam aktiviti-aktiviti dan program-program sebegini secara tidak langsung akan
menganjurkan perpaduan bangsa kita melalui aktiviti bergotong-royong, bertukar-tukar
pendapat atau idea serta persefahaman dan persepakatan. Sesuatu pertunjukkan
atau persembahan kesenian dan kebudayaan akan berjaya dengan adanya sifat-sifat
yang dinyatakan. Jadi, jelaslah bahawa penganjuran aktiviti-aktiviti dan
program-program sebegini mampu memupuk nilai-nilai murni dalam kehidupan
seharian.

“Kita perlu ada identiti sendiri untuk masyarakat dunia
mengenali kita”
, begitulah teguran yang disuarakan oleh Mufti Perlis,
Dr. Mohd Asri Zainul Abidin yang mengingatkan karyawan filem tempatan untuk
supaya tidak menghasilkan karya yang bercanggah dengan agama walaupun sesuatu
filem itu tidak semestinya mempromosikan agama (Akmal Abdullah, 12 Jun 2008).
Dr. Asri juga mahukan imej filem Melayu seharusnya mempunyai pemikiran yang
besar, berbangga dengan jati diri bangsa sendiri dan lebih penting mempunyai
ciri kebudayaan dan jiwa sebagai orang Melayu yang berpegang kepada nilai norma
dan jati diri Malaysia.

Bangsa Malaysia
ialah pelbagai kaum yang diterajui dengan kebudayaan Melayu dan kita perlu
berkongsi budaya bagi mempamerkan jati diri kita yang sebenar. Untuk maksud
filem Melayu, ia menyentuh mengenai pembikinan filem yang bercakap mengenai
sikap, keperibadian, peradaban, jiwa dan cara Melayu berfikir. Melalui filem,
umat Melayu patut berbangga kerana Dasar Perfileman Negara meletakkan Bahasa
Melayu sebagai imej filem Malaysia. Di sinilah kejayaan bangsa Melayu sekiranya
perpaduan antara kita sentiasa erat dan kukuh.

 

Kesimpulan

 Sesungguhnya perpaduan
adalah penting bagi bangsa Melayu kerana melalui perpaduan ianya boleh menentukan
kejayaan umat dan negara. Maka melalui kesedaran ini, kita hendaklah sentiasa
memupuk kesedaran bangsa kita supaya menghargai nilai perpaduan serta berusaha
untuk memelihara dan memperelokkannya. Kita juga mesti sentiasa mengingatkan
bangsa kita supaya menjauhi dan mengelak daripada gejala-gejala yang boleh
mencemarkan maruah bangsa dan berpecah-belah serta bermusuhan sesama kita.

Perpaduan Melayu
melalui kesenian dan kebudayaan bukan sahaja mampu untuk menyatupadukan Melayu
malah kesenian dan kebudayaan adalah satu bidang yang profesional yang dapat
menyumbang ke arah menjana pendapatan negara sekiranya kita amat
bersungguh-sungguh dan ikhlas memperjuangkan perpaduan melalui kesenian dan
kebudayaan bangsa kita sendiri.

Oleh itu, bangsa
Melayu perlulah sedar dan berusaha dengan gigih serta teratur dalam
memartabatkan perpaduan yang dikecapi pada hari ini terpelihara selamanya
malahan lebih baik daripada apa yang dicapai pada hari ini.

Rujukan

Abdurrahman Al-Baghdadi.
(2005). Seni Dalam Islam : Vokal,

Muzik dan Tari. Semenyih : Synergymate
Sdn. Bhd.

Adib Anas. Nota Kuliah Kesenian Melayu. 2002.

Akmal Abdullah. (2008,
12 Jun). Mufti Perlis Hentam

Karyawan Filem
Melayu. Berita Harian.

http://www.islam.gov.my/erujukan/lihat.php?jakim=482 

Kamus Dewan Edisi
Ketiga. Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan

Pustaka.

Perlembagaan Gabungan
Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS).

Kuala Lumpur :
Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS).

Prof. Dr. Yusuf
Al-Qardhawi. (2005). Seni dan Hiburan
Dalam

Islam. Kuala Lumpur :
Al-Hidayah Publishers.

Prof. H.M Toha Yahya
Omar M.A. (2002). Haramkah Muzik,

Menyanyi dan
Menari : Suatu Analisis ‘Hukum Seni

Muzik, Seni Suara dan Seni Tari Menurut Islam’.

Semenyih :
Synergymate Sdn. Bhd.


Notes  :
Kertas kerja ini telah dibentang sewaktu KONVENSYEN PERPADUAN MELAYU PULAU PINANG 2008 pada 2 Ogos 2008 di Dewan Kuliah Utama, Politeknik Seberang Perai, Pulau Pinang.