Memartabatkan Perpaduan Melayu Dari Konteks Kesenian dan Kebudayaan

Memartabatkan Perpaduan Melayu Dari Konteks

Kesenian dan Kebudayaan

Mohd Adib Anas Bin Md Noor

 

Mukadimah

Salah satu daripada
tujuan Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) ditubuhkan ialah untuk
menjaga dan memartabatkan kesucian agama Islam, kesenian dan kebudayaan Melayu.
Perkara atau tujuan ini secara rasminya termaktub di dalam Perlembagaan
Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (Bahagian 5.5.3). Timbulnya perkara atau
tujuan untuk menjaga dan memartabatkan kesucian agama Islam, kesenian dan
kebudayaan Melayu ini adalah kerana Pertubuhan atau GPMS sedar bahawa perkara
atau tujuan ini dapat menyatukan dan meningkatkan darjat bangsa Melayu.

Kerajaan Malaysia melalui Rancangan Malaysia Ke Sembilan
(2006-2010), memperakui bahawa peranan budaya dan seni mampu menyumbang ke arah
membangun individu secara total, mempererat perpaduan serta mempertingkatkan
kualiti hidup melalui penglibatan aktif semua golongan dalam aktiviti kesenian
dan kebudayaan, malah turut mewujudkan kesedaran dan penghayatan yang lebih
baik terhadap kekayaan warisan budaya negara.

 

Definisi

Kamus Dewan
Edisi Ketiga terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka mentakrifkan perpaduan sebagai
penggabungan, peleburan, persesuaian, kecocokan, dan perihal berpadu (bergabung
menjadi satu, sepakat dan lain-lain), persatuan, manakala keutuhan bermaksud
perihal (sifat,keadaan) utuh.

Perkataan
perpaduan menurut Haji Mohd Shahrir Haji Abdullah (http://www.islam.gov.my/erujukan/lihat.php?jakim=

482) berasal daripada
perkataan padu iaitu mampat, pejal dan padat. Perpaduan juga bermaksud
penggabungan. Perihal bergabung menjadi satu atau persatuan. Menurutnya lagi,
lawan bagi perpaduan ialah permusuhan, kehancuran dan perpecahan. Jadi,
perpaduan dari segi tuntutan Islam adalah satu perkara yang baik iaitu makruf manakala perpecahan pula satu
perkara yang keji atau tidak baik iaitu mungkar.

Dalam pengertian yang lain, perpaduan bererti hubungan erat yang
bersifat toleransi bagi mencapai matlamat secara jujur dan ikhlas. Perpaduan
juga adalah proses menyatupadukan seluruh masyarakat bagi membentuk satu
identiti dan menanamkan perasaan cinta dan banggakan negara.

Perkataan Melayu menurut Van Der Tuuk bererti penyeberang.
Hollender menyatakan bahawa Melayu sama seperti pengembara. Melayu itu berasal
dari Negeri Persia yang dikenali sebagai Mahaluyah.
Perkataan Melayu diambil sempena nama pokok iaitu gaharu, kata Darus Ahmad. Begitulah
pendapat dan andaian para sarjana dan pengkaji mengenai perkataan dan asal-usul
Melayu. Perlembagaan Malaysia Fasa 110.89(6) merumuskan bahawa Melayu adalah
mereka yang berbangsa Melayu, beragama Islam dan mengamalkan budaya Melayu.
Ditafsirkan juga bahawa sesiapa yang berketurunan Melayu tetapi tidak mengikut
nilai-nilai Melayu, mereka ini tidak tergolong sebagai bangsa Melayu (Nota
Kuliah Kesenian Melayu, 2001).

Kesenian adalah
sesuatu produk, pertunjukan atau persembahan, benda atau apa-apa yang berseni yang
memiliki ciri-ciri estetika, keindahan atau kecantikan. Kesenian lahir dari
sentuhan nuansa atau nurani yang mendalam. Ianya dihasilkan untuk meninggalkan
kesan kepada nurani orang lain. Seni daripada Ensiklopedia Indonesia menterjemahkan seni sebagai jelmaan rasa
indah yang terkandung dalam jiwa manusia, dilahirkan dengan perantaraan alat
komunikasi ke dalam bentuk yang dapat ditangkap oleh pancaindera pendengaran
(seni suara), penglihatan (seni lukis) atau dilahirkan dengan perantaraan gerak
(seni tari atau drama) (Abdurrahman Al-Baghdadi, 2005).

Budaya akan wujud dengan adanya kelompok bangsa atau kaum.
Kebudayaan tercetus apabila budaya sesuatu bangsa itu mempunyai nilai peradaban
yang tinggi dalam sesuatu tamadun. Dalam kebudayaan terdapat empat komponen
penting iaitu fikiran atau idea
(contoh : falsafah, mitos, lagenda, sastera, kepercayaan, bahasa dan
lain-lain), kebendaan (contoh : seni
bina, perkakasan, teknologi, perubatan dan lain-lain), kesenian (contoh : seni lakon, tarian, nyanyian, seni visual,
lukisan dan lain-lain), nilai dan norma
(contoh : undang-undang, adat resam, perlakuan, kesopanan dan kesantunan,
nilai-nilai keagamaan, pantang larang dan lain-lain). 

 

Perpaduan Melayu

 Perpaduan antara
Melayu dengan Melayu adalah penting dalam mencapai kesepakatan dan kesatuan
bangsa yang disegani. Perlunya perpaduan antara Melayu dengan Melayu adalah kerana
keteguhan bangsa Melayu membolehkan Melayu maju dalam pelbagai lapangan
disamping menikmati kehidupan aman dan bebas daripada ketakutan.

Perpaduan bukan sesuatu yang sukar untuk digapai. Perpaduan
Melayu boleh dicapai melalui kesenian dan kebudayaan. Bangsa Melayu yang
inovatif dan kreatif mampu untuk mengeratkan perpaduan yang utuh disamping
menjadi bangsa yang berbudaya tahan dan
mempunyai moral awam yang yang teguh. Akan tetapi, bagi mencapai perpaduan ini
bangsa Melayu tidak terlepas daripada rintangan dan halangan. Rintangan dan
halangan ini ada yang berpunca dari Melayu itu sendiri dan tidak kurang juga
yang datang dari luar.

Sifat sombong adalah sifat yang perlu dikikis oleh bangsa
Melayu. Sifat ini adalah penghalang utama seseorang untuk menerima pendapat
atau buah fikiran orang lain dan ianya mendorong ke arah keretakan dan
perpecahan. Selain itu, Melayu perlu buang sikap menyebarkan hal atau keburukan
orang lain. Perbuatan ini akan menggagalkan perpaduan. Sesungguhnya tidak ada
sesiapa pun yang mahu keburukan atau masalah yang dihadapi dicanang atau
disebar kepada khalayak umum.

Bagi mencapai perpaduan bangsa Melayu yang utuh, Melayu perlulah
berpegang teguh kepada agama, mengamalkan nilai-nilai murni, memelihara dan
menjaga maruah diri, bertatasusila dan berdisiplin, bersatu padu dan
bertoleransi, prihatin, dan cintakan keamanan dan pendamaian.

Perpaduan bangsa Melayu akan terbentuk dengan adanya kesedaran.
Apabila Melayu mulai sedar, segala pembentukan dan perlasanaan pelbagai agenda
Melayu mudah digerak dan dirancang. Ini kerana kesedaran akan membawa kepada
usaha yang bersungguh-sungguh dalam mencapai objektif strategi, matlamat,
program dan aktiviti.


Kesenian dan Kebudayaan Mengeratkan Perpaduan

 Apabila
menyentuh soal kesenian dan kebudayaan, rata-rata berfikiran bahawa kesenian
dan kebudayaan adalah cabang yang membawa kepada hiburan. Pemikiran
konvensional sebegini menghalang kita daripada meneroka kesenian dan kebudayaan
Melayu dengan lebih mendalam lagi, sedangkan sedar atau tidak pemikiran ini
telah membuatkan Melayu kian lupa akan kesenian dan kebudayaan bangsa sendiri.

Kesenian dan kebudayaan mendapat atau menghadapi kekangan kerana
apabila menyentuh soal Melayu, secara automatiknya atau majoritinya adalah
beragama Islam. Apabila menyentuh soal kesenian dan kebudayaan, persoalan yang
timbul ialah adakah Islam mengharamkan kesenian dan kebudayaan secara total? Prof.
Dr. Yusuf Al-Qardhawi (2005) dalam tulisannya mengenai Seni dan Hiburan Dalam Islam menyatakan bahawa perkara-perkara yang
melibatkan seni dan budaya dibolehkan selagi perkara-perkara tersebut tidak
melalaikan dan tidak bertentang dengan tuntutan agama Islam. Katanya lagi, seni
dan budaya akan mengurangi keimanan dan memasukkan seseorang ke lembah
kelalaian dan seterusnya menjadi haram adalah disebabkan oleh sikap manusia itu
sendiri yang berlebih-lebihan sewaktu menikmati keindahan sehingga menyebabkan
kenikmatan yang dinikmati itu bertentangan dengan tuntutan Islam.

“‘Sesungguhnya
Allah itu indah dan mencintai keindahan’ Inilah prinsip yang diajarkan oleh
Nabi Muhammad S.A.W kepada sahabatnya.”

(Prof. Dr. Yusuf Al-Qardhawi, 2005)

 

 Imam Al-Ghazali
dalam ulasannya yang dipetik daripada kitab Ihya’
menyatakan bahawa Allah mengurniakan manusia akal dan pancaindera di mana
tiap-tiap pancaindera itu ingin menikmati sesuatu yang menurut naluri
masing-masing. Umpamanya pelihat (penonton atau khalayak), ingin menikmati
sesuatu yang cantik, pendengar pula ingin mendengar suara yang merdu dan
berirama. Jadi tidaklah diterima akal bahawa semua perkara yang melibatkan kesenian
dan kebudayaan dilarang Allah kerana Allah telah menjadikan pancaindera untuk
tidak digunakan sewenang-wenangnya. Ianya hendaklah dikawal dan disalurkan
kepada jalan yang baik (Prof. H.M Toha Yahya Omar M.A, 2002).

Islam juga tidak
menolak bahawa persembahan kesenian dan kebudayaan ada yang bersifat
kemasyarakatan. Persembahan sebegini melambangkan kekuatan kerjasama kelompok
dan perwujudan saling hormat-menghormati, sesuai dengan tradisi masyarakat
tersebut. Kesenian dan kebudayaan yang dipersembahkan merupakan ekspresi suatu
gagasan, emosi dan kisah (Abdurrahman Al-Baghdadi, 2005).

Menyentuh perpaduan
Melayu melalui kesenian dan kebudayaan, dilihat bahawa program atau upacara
yang berkait rapat dengan kesenian dan kebudayaan mampu mewujudkan persefahaman
dan kekuatan kerjasama sesama kita. Kesenian dan kebudayaan masyarakat atau
bangsa Melayu bukan sahaja tinggi nilai estetikanya dalam seni drama tari
sahaja (merujuk kepada persembahan Mak Yong yang merupakan seni budaya yang
originalitinya dari Malaysia) malahan keindahannya juga dapat dilihat melalui seni tari, seni suara, lukisan,
seni hiasan dan fesyen, dan filem Melayu dan sebagainya.

Kesemua kesenian
dan kebudayaan yang disebutkan di atas sememangnya mampu memperkukuhkan
perpaduan bangsa Melayu sekiranya penglibatan secara serius dan
bersungguh-sungguh melalui medium ini dilakukan. Ini kerana, aktiviti-aktiviti
dan program-program yang melibatkan kesenian dan kebudayaan memerlukan
penglibatan lebih daripada seorang bagi menjayakan. Dengan penglibatan
menjayakan aktiviti-aktiviti dan program-program sebegini bangsa Melayu akan
lebih bersatu dan saling hormat menghormati antara satu sama lain. Penglibatan
dalam aktiviti-aktiviti dan program-program sebegini secara tidak langsung akan
menganjurkan perpaduan bangsa kita melalui aktiviti bergotong-royong, bertukar-tukar
pendapat atau idea serta persefahaman dan persepakatan. Sesuatu pertunjukkan
atau persembahan kesenian dan kebudayaan akan berjaya dengan adanya sifat-sifat
yang dinyatakan. Jadi, jelaslah bahawa penganjuran aktiviti-aktiviti dan
program-program sebegini mampu memupuk nilai-nilai murni dalam kehidupan
seharian.

“Kita perlu ada identiti sendiri untuk masyarakat dunia
mengenali kita”
, begitulah teguran yang disuarakan oleh Mufti Perlis,
Dr. Mohd Asri Zainul Abidin yang mengingatkan karyawan filem tempatan untuk
supaya tidak menghasilkan karya yang bercanggah dengan agama walaupun sesuatu
filem itu tidak semestinya mempromosikan agama (Akmal Abdullah, 12 Jun 2008).
Dr. Asri juga mahukan imej filem Melayu seharusnya mempunyai pemikiran yang
besar, berbangga dengan jati diri bangsa sendiri dan lebih penting mempunyai
ciri kebudayaan dan jiwa sebagai orang Melayu yang berpegang kepada nilai norma
dan jati diri Malaysia.

Bangsa Malaysia
ialah pelbagai kaum yang diterajui dengan kebudayaan Melayu dan kita perlu
berkongsi budaya bagi mempamerkan jati diri kita yang sebenar. Untuk maksud
filem Melayu, ia menyentuh mengenai pembikinan filem yang bercakap mengenai
sikap, keperibadian, peradaban, jiwa dan cara Melayu berfikir. Melalui filem,
umat Melayu patut berbangga kerana Dasar Perfileman Negara meletakkan Bahasa
Melayu sebagai imej filem Malaysia. Di sinilah kejayaan bangsa Melayu sekiranya
perpaduan antara kita sentiasa erat dan kukuh.

 

Kesimpulan

 Sesungguhnya perpaduan
adalah penting bagi bangsa Melayu kerana melalui perpaduan ianya boleh menentukan
kejayaan umat dan negara. Maka melalui kesedaran ini, kita hendaklah sentiasa
memupuk kesedaran bangsa kita supaya menghargai nilai perpaduan serta berusaha
untuk memelihara dan memperelokkannya. Kita juga mesti sentiasa mengingatkan
bangsa kita supaya menjauhi dan mengelak daripada gejala-gejala yang boleh
mencemarkan maruah bangsa dan berpecah-belah serta bermusuhan sesama kita.

Perpaduan Melayu
melalui kesenian dan kebudayaan bukan sahaja mampu untuk menyatupadukan Melayu
malah kesenian dan kebudayaan adalah satu bidang yang profesional yang dapat
menyumbang ke arah menjana pendapatan negara sekiranya kita amat
bersungguh-sungguh dan ikhlas memperjuangkan perpaduan melalui kesenian dan
kebudayaan bangsa kita sendiri.

Oleh itu, bangsa
Melayu perlulah sedar dan berusaha dengan gigih serta teratur dalam
memartabatkan perpaduan yang dikecapi pada hari ini terpelihara selamanya
malahan lebih baik daripada apa yang dicapai pada hari ini.

Rujukan

Abdurrahman Al-Baghdadi.
(2005). Seni Dalam Islam : Vokal,

Muzik dan Tari. Semenyih : Synergymate
Sdn. Bhd.

Adib Anas. Nota Kuliah Kesenian Melayu. 2002.

Akmal Abdullah. (2008,
12 Jun). Mufti Perlis Hentam

Karyawan Filem
Melayu. Berita Harian.

http://www.islam.gov.my/erujukan/lihat.php?jakim=482 

Kamus Dewan Edisi
Ketiga. Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan

Pustaka.

Perlembagaan Gabungan
Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS).

Kuala Lumpur :
Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS).

Prof. Dr. Yusuf
Al-Qardhawi. (2005). Seni dan Hiburan
Dalam

Islam. Kuala Lumpur :
Al-Hidayah Publishers.

Prof. H.M Toha Yahya
Omar M.A. (2002). Haramkah Muzik,

Menyanyi dan
Menari : Suatu Analisis ‘Hukum Seni

Muzik, Seni Suara dan Seni Tari Menurut Islam’.

Semenyih :
Synergymate Sdn. Bhd.


Notes  :
Kertas kerja ini telah dibentang sewaktu KONVENSYEN PERPADUAN MELAYU PULAU PINANG 2008 pada 2 Ogos 2008 di Dewan Kuliah Utama, Politeknik Seberang Perai, Pulau Pinang.

Leave a Reply