Archive for April, 2009

KJ SEBAGAI KETUA PEMUDA UMNO MALAYSIA

Wednesday, April 8th, 2009

Oleh Mohd Adib Anas Hj. Md Noor

Para perwalkilan Persidangan Agung UMNO telah memilih Khairi Jamaluddin sebagai Ketua Pemuda UMNO Malaysia dengan menolak Datuk Seri Khir Toyo dan Datuk Mukhriz Tun Mahathir yang turut bertanding untuk kerusi yang sama. Satu keputusan yang amat mengejutkan kerana KJ sebelum ini telah diberi amaran kerana beliau mengamalkan politik wang sewaktu berkempen. Kemenangan KJ disifatkan bahawa ‘nanah dalam UMNO adalah berpunca daripada PEMUDA sendiri’.

Sewaktu ramai belia menolak UMNO dan BN, dikejutkan pula dengan kemenangan KJ. Adakah belia akan menyertai PEMUDA UMNO selepas ini? Ramai yang kecewa dengan keputusan tersebut. Banyak luahan yang telah saya baca melalui blog.

Sekali imbas, jika dibandingkan Khir Toyo dan Mukhriz dengan KJ, KJ adalah individu yang amat lantang bersuara. KJ petah berkata-kata dan berani mengusulkan perkara-perkara yang sensitif pada padangan orang Cina dan India dalam memihak kepada Melayu. Kecenderungan KJ ke arah ini lebih mempamerkan beliau sebagai ’singa Melayu’. Perlu ada ’singa Melayu’ dalam keadaan sekarang.

Dalam pandangan yang lain, KJ mirip Anwar Ibrahim. Sekiranya beliau tewas, beliau berupaya menghasut yang lain untuk tinggalkan parti. Sekiranya KJ dan Anwar bersengkol, peratusan belia yang berpihak kepada pembangkang akan lebih ketara daripada sekarang.

Untuk tempoh ini, biar KJ mentadbir belia dan PEMUDA. Lihat sejauh mana keberkesanannya. Sekiranya tempang dan rapuh, saya menganggap ’singa’ ini hanya boneka sahaja dan ’singa’ ini ada matlamat lain dalam parti.

NO. KEAHLIAN 001 : TUN DR. MAHATHIR MOHAMAD KEMBALI KE GAGANG

Wednesday, April 8th, 2009

Oleh Mohd Adib Anas Hj. Md Noor

Bagai sirih pulang ke gagang, itulah ungkapan yang sesuai untuk Tun Dr. Mahathir Mohamad. Setelah lebih kurang setahun meninggalkan UMNO, beliau kini kembali kepangkuan parti yang pernah diperjuangkannya dulu.

Saya menyifatkan Dr. M sebagai seorang yang ‘kering hati’. Jika beliau membuat keputusan beliau tidak akan berganjak dan berdiri dengan keputusannya biarpun ramai yang mengkritik hebat keputusannya. Sifat ‘kering hati’ perlu ada dalam setiap hati pemimpin terutamanya siapa yang bergelar Perdana Menteri. Ini kerana, PM adalah nakhoda yang bakal mengemudi kapalnya. Jika anak-anak kapal ingkar / malas dan sebagainya, mereka perlu menerima hukuman demi menjaga anak-anak kapal yang lain. Sifat ini juga dapat mengelakkan diri daripada dipengaruhi oleh idea lain.

Kemasukkan semula Tun ke dalam UMNO sememangnya dinantikan. Kini, Tun mengotakan janjinya. Ramai kenalan saya yang mengatakan bahawa Tun sebagai ‘muka tak malu masuk balik UMNO’ setelah beliau dengan lantang mengkritik Tun Abdullah sewaktu Tun Abdullah menjawat jawatan PM.

Saya tidak memihak kepada Tun, dan tidak pula mengkeji Abdullah. UMNO dan BN seharusnya melantik Tun sebagai Penasihat UMNO dan BN sebaik sahaja Tun melepaskan jawatan PM Ke-4. Ini kerana Dr. M mempunyai idealism baru yang bernas untuk kegunaan masa hadapan. Tun Abdullah sepatutnya berbuat demikian. Lihat apa yang telah jadi kepada UMNO dan BN setelah saban hari rakyat menolak parti ini.

Kita patut bersyukur kerana Tun Dr. M masih sihat. Sesekali terfikir, ada baiknya Tun Mahathir lepas jawatan awal. Sekiranya beliau meninggal dunia dalam jawatan, apa akan jadi pada agama, bangsa dan negara. Abdullah yang 5 tahun sebagai PM telah macam-macam jadi. Nasihat Tun tak mahu dengar, tolak Tun untuk majlis tertentu. Sekarang, kesusahan dan kepayahan bakal ditanggung oleh DS Najib.

Sekurang-kurangnya pendapat/kritikan/nasihat Dr. Mahathir diambil perhatian. Biarlah orang kata Dr. M ‘nyanyuk’ tetapi mana ada lagi negarawan yang bernas akalnya.

Pulangnya Dr. M dalam UMNO diharapkan akan membawa pembaharuan dan kegemilangan UMNO dikembalikan. Saya amat pasti bahawa Tun M akan berbuat sesuatu untuk bangsanya. Walaupun sewaktu pemerintahan Tun sebagai PM mendapat cacian dan kejian, tetapi Malaysia telah cemerlang dengan pacuan Tun.

Saya amat mengalu-alukan penyertaan semula Tun dan isteri dalam UMNO. Saya berharap agar DS Najib memberi peluang kepada Tun untuk memberi idea dan cadangan bagi memulihkan UMNO dan BN, disamping memulihkan keadaan ekonomi Malaysia.

DATUK SERI NAJIB TUN ABDUL RAZAK : PM KE-6

Wednesday, April 8th, 2009

Oleh Mohd Adib Anas Hj. Md Noor

Proses peralihan kuasa Tun Abdullah kepada YAB Datuk Seri Najib Tun Razak berjalan lancar. Upacara Angkat Sumpah yang disempurnakan oleh Datuk Seri Najib dihadapan DYMM SPB Yang Dipertuan Agong, dengan rasminya meletakkan Najib sebagai Perdana Menteri Malaysia yang Ke-6. Konsep SATU MALAYSIA yang diperkenalkan Najib secara tidak lansung menunjukkan bahawa Najib amat peka dengan kesatuan/perpaduan kaum di Malaysia. Sewaktu pemerintahan Abdullah (Tun), kaum Cina dan India seakan menolak kerajaan BN, mereka membuat protes, Melayu-Cina-India seakan terpisah/berpecah mengikut haluan dan ideologi sendiri. Tetapi, dengan konsep SATU MALAYSIA yang diperkenalkan oleh Najib, berkemungkinan ini adalah langkah utama yang diambil Najib untuk menyatukan ketiga-tiga kaum ini dibawah satu paksi iaitu MALAYSIAN.

Datuk Seri Najib menerima jawatan sebagai PM Ke-6 dalam keadaan yang serba kekurangan. Bangsa Melayu berpecah, belia lebih memihak kepada parti pembangkang, kaum Cina dan India mengusulkan ‘yang bukan-bukan’, dan tekanan ekonomi global yang turut dirasai Malaysia. Untuk berada dalam jawatan dengan stabil, Najib perlu membuat upacara pembersihan dalaman dan luaran secara maksimum dalam usaha mengembalikan keyakinan dan kepercayaan rakyat terhadap barisan pimpinannya.

Sebagai salah seorang graduan dalam bidang ekonomi dari University of Nottingham, saya percaya Najib boleh memulihkan keadaan ekonomi Malaysia. Pengalaman sebagai ahli politik selama 30 tahun akan membuatkan Najib lebih matang dalam membuat keputusan dan menyelesaikan segala kekusutan.

Perkara utama yang perlu ditekankan oleh Najib ialah menyatukan semua kaum di bawah satu paksi. Umum ketahui bahawa majoriti kaum Cina dan India menolak BN, bahkan sejak akhir-akhir ini ramai Melayu yang menolak UMNO dan BN. Pemulihan disemua peringkat hendaklah berjalan serentak kerana Malaysia hanya mempunyai masa kurang 3 tahun untuk PRU13. Jika perkara ini tidak diutamakan, BN akan tumbang dan sejurus dengan itu ekonomi Malaysia turut akan menjunam sekiranya kerajaan pusat ditadbir parti pembangkang.

Najib telah mempamerkan perkhidmatan yang cemerlang sebagai menteri dalam bidang pendidikan, ketenteraan, sukan, kesenian dan sebagai Menteri Besar Pahang. Saya percaya bahawa Datuk Seri Najib akan dapat mentadbir Malaysia sepertimana yang pernah dilandaskan oleh Tun Dr. Mahathir, Perdana Menteri Malaysia Ke-4. Saya juga berpendapat, dengan usia 55 tahun sebagai PM, Najib akan lebih lama berkhidmat sebagai PM.